Wednesday 16 January 2019

TIPS TEKNIK MENGHAFAZ AL QURAN



#Tip 1 : Betulkan Kefahaman, Menghafal Al-Quran Bukannya Perlumbaan, Tetapi Usaha Sepanjang Hayat!
 Ramai yang tersalah faham bahawa habis menghafal 30 juzuk Al-Quran, tugas mereka telah selesai.
Seolahnya telah confirm masuk syurga dengan hafazan tersebut!
Hakikatnya, menghafal mungkin mudah bagi sesetengah orang, tetapi mengekalkan hafazan tersebut dengan baik memerlukan usaha yang berpanjangan.

Ini kerana sekiranya kita lalai untuk mengulang dan menjaga hafazan tersebut, tanpa kita sedar, sedikit demi sedikit hafazan itu akan hilang.
Oleh itu, sebelum mulakan pengembaraan ini, betulkan niat. Menghafal bukan semata-mata untuk menghabiskan 30 juzuk tersebut.
Tetapi untuk memelihara ayat-ayat Allah sehingga ke hujung nafas yang terakhir!
#Tip 2 : Mulakan Dengan Sedikit Dan Fokus Pada Matlamat Mingguan.
Ramai dalam kalangan kita yang mungkin kerana tidak sabar, mahu menghabiskan hafazan secepat mungkin.
Lalu diletakkan target yang terlalu besar dan sukar dicapai dalam masa yang singkat.
Sebagai contoh, “Aku nak hafal surah al-Kahfi dalam seminggu.” Niat yang baik tetapi strategi yang salah.

Bagi mereka yang baru hendak mula, perkara pertama yang perlu diutamakan adalah membentuk disiplin dalam menghafal.
Jadi mulakan dengan surah-surah pendek. Di permulaan ini, targetnya adalah supaya dapat memperuntukan sedikit masa untuk menghafal.
Sekiranya berterusan, selepas itu menghafal akan jadi lebih mudah.
Pilih surah yang pendek dan yang biasa didengari untuk permulaan.
Kita ambil contoh surah Al-Mulk yang mengandungi 29 ayat, lebih kurang 2 setengah muka surat.
Contoh Praktikal Bagaimana Untuk Bermula :-
1.      Letakkan target kecil untuk setiap minggu. Contohnya 5 ayat seminggu. Jangan gopoh! Ingat di permulaan proses menghafal, apa yang hendak dibina adalah disiplin.
2.      Setelah beberapa minggu, anda sudah terasa mudah untuk menghafal 5 ayat dalam seminggu, tambahkan lagi bilangan ayat dalam seminggu, 7-10 ayat.
3.      Jangan lupa untuk mengulang kembali ayat-ayat yang telah dihafal. Bila-bila masa dan di mana jua anda berada.
Ketika memandu, sebelum tidur dan dalam solat! Ini sangat penting untuk mengelakkan dari hafazan itu hilang.
4.      Raikan diri sendiri apabila anda mencapai target mingguan. Ini sebagai motivasi untuk terus cemerlang.
5.      Sekiranya anda memang orang yang terlalu sibuk, anda tidak semestinya perlu meluangkan masa setiap hari untuk menghafal.
Cukup selang sehari dalam 30 minit setiap hari. Yang penting cuba disiplinkan diri untuk meluangkan masa 30 minit setiap selang sehari untuk menghafal.
Setiap orang berbeza kemampuan menghafal. Oleh itu kenali kekuatan anda sendiri, kemudian letakkan target mengikut kemampuan anda. Jangan terlalu memaksa.
Usahakan untuk mencapai target mingguan dan anda akan lebih bermotivasi untuk terus menghafal.




#Tip 3 : Kenal Pasti Cara Menghafal Quran Yang Baik Dan Sesuai Untuk Anda
Zaman terus berjalan dan berubah. Kalau dulu pada zaman Nabi Muhammad, Al-Quran ditulis di atas pelepah-pelepah tamar.
Dan cara para sahabat menghafaz adalah dengan memperdengarkan bacaan Al-Quran.
Walaupun ayat Quran terpisah-pisah, mereka sangat mudah menghafaz kerana tutur kata seharian menggunakan Bahasa Arab Fushah (formal) sepertimana ayat-ayat Quran.
Kini teknologi telah memudahkan segalanya. Terlalu banyak MP3 bacaan Al-Quran oleh qari-qari terkenal seluruh dunia.
Dengan lagu-lagu yang menarik, memudahkan lagi untuk kita menghafal dan mengingati melodi bacaan Quran tersebut.
Dengan semua kemudahan yang ada hari ini, gunakalah sebaiknya. Gunakan semua pancaindera yang Allah kurniakan untuk menghafaz.
Mata melihat mushaf, mulut mengulang hafazan dan telinga mendengarkan alunan kalam Allah tersebut.
# Tip4 : Jangan Terlalu Stress Kalau Tersalah Ketika Mengulang
Sekuat mana pun hafazan kita, pasti akan melakukan kesilapan juga ketika mengulang. Itu perkara normal. Jangan terlalu menyalahkan diri.
Apa yang perlu dibuat adalah memperbanyakkan lagi mengulang hafazan. Semasa menunggu bas, dalam kereta, memasak dan macam-macam lagi aktiviti harian yang boleh disekalikan dengan mengulang hafazan.
Sentiasa ingat, Allah melihat usaha kita, bukan semata-mata hasilnya
#Tip5 : Mengulang Adalah Kunci
Perkara yang lebih sukar adalah mengulang hafazan. Kebanyakan orang yang mula menghafaz akan berhenti di pertengahan jalan apabila dia tidak disiplin mengulang hafazan.
Ini kerana dia merasakan, apa yang telah dihafaz sebelum ini seperti hilang begitu sahaja. Akhirnya menghilangkan motivasi mereka untuk terus menghafal.
Sebab itu diawal tadi kita bincangkan, menghafal Quran ini bukannya perlumbaan siapa yang habis dulu.
Tapi sejauh mana kita boleh memelihara ayat hafazan tersebut sehingga kita mati. Biar perlahan, yang penting istiqamah.

Kesimpulan 
Anda boleh  menghafal Al Quran, walau sesibuk mana sekalipun anda. Cuba lah cari ruang dalam aktiviti seharian anda, untuk menghafal.
Tidak perlu banyak, hanya 30 minit satu sesi dan seminggu 3 sesi sudah memadai.
Amatlah malang sekiranya kita tidak pernah berazam langsung untuk menghafal Quran sebelum kita menghembuskan nafas yang terakhir.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (54:17)

Quranic Gen

No comments:

Post a Comment